KUCHING: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) oleh Kerajaan Sarawak semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi manfaat bukan memberi kelebihan kepada satu pihak sahaja.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025 antaranya akan memastikan RUU tersebut lebih tersusun dari sudut pemberian amanah tanah.
“Ini tidak semestinya berasaskan agama tetapi hanyalah sistem pentadbiran supaya mereka dapat mendaftar tanah mereka dan sekarang kita sudah banyak menggunakan transaksi berasaskan dokumen digital.
“Undang-undang kali ini membolehkan kita menggunakan teknologi digital untuk menguruskan pentadbiran mengenai tanah khususnya pihak konsultan termasuk Jabatan Tanah dan Survei (JTS),” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Penghargaan Backbenchers Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Santapan DUN Sarawak, di sini, malam tadi.
Mengenai RUU Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025 pula, Abang Johari menjelaskan perkara ini membolehkan Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) menggunakan hasil kajian mereka untuk tujuan komersial.
“Sekiranya kita tidak mempunyai peruntukan dalam undang-undang, ini sekaligus tidak membolehkan SBC mengambil bahagian dalam perusahaan komersial,” katanya.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada DUN Sarawak kerana telah meluluskan RUU itu.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Menteri dan Timbalan Menteri; Ahli-ahli Yang Behormat.
