KUCHING: Ekonomi Sarawak terus menunjukkan ketahanan dengan pertumbuhan kukuh yang disokong permintaan domestik serta pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik oleh kerajaan negeri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ekonomi negeri berada pada landasan positif, diunjur berkembang sebanyak 6.7 peratus pada tahun 2024, dipacu oleh semua subsektor yang mencatat pertumbuhan positif.
Menurutnya, pelancongan kekal menjadi penyumbang utama dengan ketibaan pelawat mencecah 4.8 juta tahun ini, manakala suku pertama 2025 mencatat 1.2 juta pelawat.
Katanya, sektor pembinaan dijangka merekodkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 8.7 peratus, sebahagian besarnya disumbang subsektor kejuruteraan awam, selain bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman.
“Bagi sektor pembuatan, pertumbuhan positif dicatat hasil peningkatan pengeluaran Gas Asli Cecair (LNG) meskipun berdepan cabaran operasi seperti gangguan elektrik dan penyelenggaraan kilang.
“Eksport LNG meningkat 3.8 peratus pada 2024, namun berisiko terjejas pada suku-suku akan datang berikutan tarif balas yang menjejaskan permintaan tenaga global,” katanya semasa penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Dalam sektor pertanian, beliau menjangkakan peningkatan hasil tandan buah segar (FFB) menyumbang kepada pertumbuhan sederhana sebanyak 2.0 peratus.
Walaupun kadar perahan minyak sawit mentah menurun sedikit kepada 19.4 peratus, pengeluaran FFB katanya dijangka meningkat kepada 3.3 tan sehektar pada suku pertama 2025, bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak mencatat sejarah baharu dalam prestasi kewangannya apabila berjaya merekodkan hasil tertinggi sebanyak RM14.187 bilion pada tahun 2024.
Katanya, kejayaan ini adalah berkat usaha berterusan dalam penstrukturan semula hasil negeri yang digerakkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pada 2024, Sarawak mencatat jumlah hasil sebanyak RM14.187 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah negeri ini,” katanya.
Katanya, sebahagian besar hasil negeri disumbangkan oleh cukai jualan negeri ke atas minyak dan gas, yang sejak diperkenalkan pada Januari 2019 telah menyumbang RM21.38 bilion setakat April 2025.
