KUCHING: Sarawak bersedia untuk memberi sumbangan kepada pemimpin di wilayah ASEAN dalam membangunkan agenda ekonomi hijau, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak boleh dijadikan rakan penting di wilayah ASEAN susulan kejayaannya membangunkan tenaga diperbaharui, merintis kerangka kerja pengurusan karbon dan menerajui Perdagangan, Penyimpanan dan Perangkap Karbon (CCUS).
“Kejayaan itu akan membantu ASEAN mencapai pertumbuhan mampan dan menangani perubahan iklim secara bersama,” katanya dalam ucaptama Persidangan Karbon Asia 2025 di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, dengan menggubal dasar sedia ada dan menetapkan peraturan, Sarawak sedang merumus Pelan Karbon untuk mempercepatkan pelaburan pasaran karbon di negeri ini.
Sarawak, tambahnya, terbuka untuk perniagaan dan kolaborasi dalam perdagangan karbon dan mempelawa rakan kongsi, pelabur, penginovasi dan negara yang turut menaruh minat dalam membangunkannya.
Menurut Abang Johari, Sarawak berhasrat menjadi pemimpin ikonik dalam membangunkan potensi ekonomi hijau, mewujud masa depan lebih mampan dan menunjukkan kepada dunia bahawa kesejahteraan ekonomi, tindakan menangani perubahan iklim dan alam sekitar mesti berjalan serentak
Menjelang tahun 2027, beliau berkata, Sarawak akan menerbitkan laporan Iventori GHG yang komprehensif bagi menjejak perlepasan terhadap belanjawan karbon.
Sarawak komited untuk menyelaraskan inisiatif karbon selari dengan piawaian antarabangsa untuk memberi sumbangan secara telus dan diiktirafkan terhadap usaha menangani perubahan iklim, katanya.
Beliau menegaskan, Sarawak kekal berada di hadapan mengukuhkan inisiatif hutan karbon melalui inovasi penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
Setakat ini, tambahnya, Sarawak telah mengeluarkan tujuh permit berkaitan dengan kajian perhutanan karbon dan meluluskan satu lesen untuk projek berasaskan semula jadi dan enam permit lagi sedang dalam proses.
Dalam pada itu, Sarawak sedang giat mengkaji struktur fii berkanun bagi projek karbon untuk menarik minat pelabur dan menambahbaik pelaburan bagi menjamin Sarawak kekal sebagai destinasi menarik pelaburan pasaran karbon.
Dari segi bekalan, Sarawak sedang dalam proses menilai kerangka Levi Karbon, meningkatkan kepakaran teknikal daripada Bank Dunia untuk menetapkan harga perlepasan karbon dan menggalakkan amalan alam persekitaran yang bertanggungjawab.
