KUCHING: Mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri akan ditempat di kawasan baharu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, pelaksanaan projek tersebut akan bermula selepas Hari Gawai dan akan dilaksanakan oleh agensi Kerajaan Sarawak.
“Sebagaimana yang berlaku melibatkan masalah kerosakan sepenuhnya di 15 rumah di Miri, perkara ini juga telah dipersetujui untuk dilaksanakan selepas sambutan Hari Gawai kerana isu tanah telah pun diperoleh dan diselesaikan.
“Kita juga bersetuju menurunkan kuasa pelaksanaan kepada agensi kerajaan negeri bagi melaksanakan projek ini, dan tidak lagi menggunakan FELCRA Bina atau MARA sebagai pelaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Sesi Taklimat Pelaksanaan Program Dan Projek Pembangunan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW memberitahu kementeriannya terus komited melaksanakan semua projek sakit di Sarawak yang dilaksanakan oleh kementerian tersebut.
Ujarnya, terdapat lima projek sakit yang melibatkan isu tapak seperti permit, pengambilan tanah dan pertindihan jajaran paip di samping faktor cuaca.
Jelasnya, beliau telah meminta Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, untuk melakukan penyelarasan dan melaporkan setiap minggu bagi tujuan pemantauan serta pelaksanaannya.
“Ini penting kerana rakyat di Sarawak mesti diberikan keutamaan, selaras dengan keutamaan yang dikenal pasti oleh rakyat, khususnya di kawasan desa dan luar bandar di seluruh Malaysia. Sarawak juga perlu menikmati apa yang diperoleh oleh negeri-negeri lain di Malaysia ini,” jelasnya.
Tambahnya, sesi taklimat ini juga merupakan arahan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim susulan lawatan kerja sehari ke Kuching pada 19 April lalu.
