Status Sarawak sebagai hab tenaga ASEAN diperkukuh

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Elektrik (Pindaan) 2023 akan memacu usaha Sarawak dalam peralihan tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui yang lebih bersih.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, RUU tersebut juga akan mengukuhkan status Sarawak sebagai kuasa tenaga atau hab bagi rantau ASEAN.

Katanya, melalui sistem grid, Sarawak dapat mengeksport tenaga boleh diperbaharui ke Sabah, Brunei, Kalimantan, Singapura dan Semenanjung Malaysia.

“Ia juga untuk membolehkan rakyat dan pelabur mengambil bahagian dalam penjanaan melalui pemasangan sistem tenaga solar dan kuasa hidro melata di sungai kita,” katanya semasa sidang media di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Terdahulu, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar memberitahu dewan bahawa RUU itu diluluskan selepas memperoleh undi majoriti pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 hari ini.

Julaihi menambah, RUU tersebut perlu dikemaskini untuk memajukan dasar kerajaan Sarawak.

Katanya, ia juga membolehkan Sarawak Energy Berhad (SEB) mendapatkan hasil daripada sumber tenaga baharu ini untuk pengagihan dan pembekalan tenaga elektrik kepada pengguna melalui sistem grid penghantaran yang dimiliki oleh SEB.

“RUU ini akan mengukuhkan peranan SEB sebagai Pembeli Tunggal yang membolehkannya membeli kuasa yang dijana oleh pengeluar lain dan menghantar melalui grid penghantaran dan pengedarannya untuk membekalkan elektrik kepada pelanggan,” ujar beliau.

Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dari blok pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan RUU tersebut.