LIMBANG: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyerikan Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak di Dewan Suarah Limbang, di sini hari ini.
Ketibaan beliau bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi disambut oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kenamaan yang lain.
Sebelum ke dewan utama, tetamu kehormat dibawa melawat Pameran Raja Kita, sebuah pameran khas yang mengetengahkan sejarah dan peranan institusi Raja-Raja Melayu di Malaysia.
Pameran yang diadakan dari 12 hingga 15 Jun 2025 itu turut menyajikan pelbagai aktiviti sampingan seperti pemeriksaan kesihatan, pertandingan set makanan lengkap, pertandingan mewarna, Limbang Talent 2025, Jejak Dirgahayu, zumba serta pelbagai aktiviti komuniti yang menarik dan bersatu padu.
Majlis ini menjadi lambang kesetiaan rakyat kepada institusi diraja serta berfungsi sebagai platform untuk memperkukuhkan semangat perpaduan dan cinta kepada negara dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Majlis Jamuan Teh dimulakan dengan persembahan selamat datang disusuli dengan tayangan video khas “Titipan Untuk Tuanku” sebagai dedikasi istimewa kepada Seri Paduka Baginda.
Kemuncak majlis menyaksikan acara memotong pulut kuning sebagai simbolik kepada sambutan ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-17, sebelum tetamu dijemput menikmati jamuan.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan, seramai 100 orang klien turut menerima sumbangan berjumlah RM100 setiap seorang yang merangkumi pelbagai bentuk bantuan kebajikan seperti Bantuan Am, Bantuan Warga Emas, Elaun Pekerja OKU, Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja, Bantuan Anak Pelihara, Bantuan Kanak-Kanak serta Bantuan Penjagaan Pesakit atau OKU Terlantar.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan seperti Miey Sanisya, Donny Lang, Siti Azliyani dan penampilan khas Bob Yusof.
Persembahan kebudayaan turut disajikan menerusi tarian tradisional Rong Sia oleh kaum Lun Bawang, Joget Tempurung mewakili budaya Melayu dan Zapin Sarawak, sekali gus menonjolkan kepelbagaian budaya serta keharmonian rakyat Sarawak.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Peringkat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Ketua-ketua Jabatan, pemimpin masyarakat. – UKAS
