Kampus baharu KPM Kapit dijangka siap 2029

KAPIT: Projek pembinaan kampus baharu Kolej Profesional MARA (KPM) Kapit di sini dijadual siap pada 5 Disember 2029.

Tarikh serah milik tapak projek itu di Jalan Song-Kapit, 15 kilometer (km) dari sini adalah pada 15 Jun lalu dan projek secara kontrak bidaan terbuka itu berjaya menjimatkan peruntukan asal.

Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau difahamkan peruntukan asal projek ini sebanyak RM90 juta.

“Tetapi kontrak pembidaan secara bida terbuka, jadi berjaya mendapat hanya RM79 juta. Ada penjimat dari peruntukan asalnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek pembinaan kampus baharu KPM Kapit di bilik mesyuarat Dewan Suarah Kapit, hari ini.

Alexander sehubungan itu berharap baki peruntukan itu nanti boleh diguna untuk melengkapkan atau menaik taraf dan sebagainya kemudahan kampus terbabit.

Menurutnya, kampus baharu KPM tersebut mampu menempatkan kapasiti seramai 300 pelajar dengan kursus seperti Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Pengurusan Perladangan dan Diploma Teknologi Maklumat.

Beliau berkata, kolej tersebut mempunyai keistimewaan, hanya ada sedikit yuran pada hari pendaftaran dan pelajar tidak perlu membayar yuran sehingga habis pengajian.
 
“Saya juga fahamkan pelajar ini akan diberi elaun bulanan RM300 seorang. Jadi, ini sangat-sangat membantu lebih-lebih lagi kita komuniti di luar bandar di Kapit ini,” tambahnya.