DARO: Seramai 21 pekebun kecil menerima sumbangan barangan keperluan pertanian di tapak kebun Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kampung Tengah, di sini, baru-baru ini.
Mereka yang terlibat dalam Projek Rakan Kebun menerima sumbangan terbabit menerusi Program Sahabat Komuniti Desa (SKoD) anjuran KEMAS Matu Daro.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang turut berkesempatan beramah mesra dengan peserta serta meninjau perkembangan kebun komuniti.
Sebagai dorongan tambahan, KEMAS turut menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM5,000 dalam bentuk barangan keperluan dan benih-benih untuk menyokong kejayaan Projek Rakan Kebun ini.
Program ini bertujuan memperkasakan ekonomi luar bandar melalui sokongan langsung kepada pekebun kecil agar dapat meningkatkan hasil pertanian, menjana pendapatan dan menggalakkan keterjaminan makanan di peringkat tempatan.
Turut hadir Pegawai KEMAS Matu Daro, Mohamad Jemal Karim dan Pembantu Pembangunan Masyarakat Kanan Pembangunan Desa N.43 Daro selaku penyelaras program, Ayub Alli.
