Empat lokasi baharu tumpuan pelancongan akan dilancar

KUCHING: Sarawak bakal melancarkan empat lokasi baharu yang berpotensi menjadi tumpuan pelancongan utama.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata,
antaranya tapak arkeologi dan muzium baharu yang dijangka memperkukuh lagi sektor pelancongan warisan negeri ini.

“Antara projek yang hampir siap sepenuhnya dan menanti tarikh rasmi pelancaran ialah Tapak Arkeologi di Santubong, Bukit Maras, Sungai Jaong, Pusat Wallace dan Muzium Maritim di Kuching.

“Semua kemudahan tersebut berada di fasa akhir pembinaan dan akan menjadi antara produk pelancongan serta destinasi arkeologi yang menarik minat pelawat, khususnya pencinta sejarah dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak Bil. 1/2025 di Hotel Hilton di sini, hari ini.

Tambah beliau, Muzium Maritim yang terletak di Kuching juga dijangka menjadi daya tarikan pelancong yang memfokus kepada sejarah maritim dan peranan penting Sarawak dalam sektor perairan dan perdagangan laut.

Mengulas mengenai usaha pemeliharaan warisan negeri, Abdul Karim turut mengumumkan bahawa sebanyak 14 tapak bersejarah berjaya diwartakan secara rasmi oleh Jabatan Muzium Sarawak (JMS) di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 pada 12 Februari lalu.

Antara lokasi yang kini diiktiraf sebagai tapak warisan ialah Rumah Panjang Melanau Kampung Sok, Matu; Rumah Sri Tanjung, Tanjung Lobang, Miri; Gereja Sacred Heart, Sungai Bawan, Kanowit; Makam Dato Permaisuri, Miri; Pusara Ali Wallace, Kampung Jaie, Sadong Jaya; dan Kubur Shariff Skrang, Kampung Igan, Matu.

Selain itu, turut diwartakan ialah Tapak Masjid Bandaraya Kuching; Tapak Pertempuran Beting Maro; Lombong Arang Batu Brooke di Gunung Ngili, Simunjan; Batu Ritong di Pa’ Lungan, Bario; Tapak Pertempuran Kampung Jangkar, Lundu; Tuang Schist Semeba dan Folded Schist Demak di Kuching serta Japanese Landing Craft di Pantai Brighton, Miri.