Sarawak bida sebagai hos World Robotics Olympiad

KUCHING: Sarawak merancang untuk membida sebagai tuan rumah World Robotics Olympiad (WRO), kejohanan robotik berprestij di peringkat antarabangsa.

Ia dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai pusat kecemerlangan bakat digital dan inovasi serantau.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, langkah ini merupakan sebahagian agenda jangka panjang Sarawak dalam memperkukuh ekosistem teknologi dan menarik penyertaan bakat muda dari seluruh dunia.

“Kita mahu membawa minda muda terbaik ke Sarawak dan menunjukkan bahawa negeri ini sedang berkembang sebagai pusat bakat digital dan inovasi,” katanya pada Majlis Penyerahan Kit Robotik sempena National Robotic Competition (NRC) di LCDA Tower, The Isthmus hari ini.

Sebagai sokongan awal, kementeriannya telah meluluskan geran berjumlah RM666,000 bagi memperkasakan inisiatif robotik termasuk pertandingan dan pembangunan program pendidikan di sekolah-sekolah seluruh negeri.

Roland Sagah berkata, Sarawak turut menawarkan program pra-ijazah dan ijazah berteraskan STEM di universiti milik negeri bermula 2026, sebagai sebahagian strategi pembangunan modal insan digital. – UKAS