KUCHING: AFFIN Bank mengukuhkan kehadirannya di Sarawak melalui penubuhan cawangan baharu di Satok, menyokong agenda pembangunan wilayah ini merangkumi pembaharuan bandar, pendigitalan serta keterangkuman kewangan.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pelaburan oleh institusi kewangan seperti AFFIN merupakan bukti kemajuan sebenar bermula apabila institusi melabur dalam rakyat dan tempat mereka tinggal.
Menurut nya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam konteks pembangunan ekonomi Sarawak.
“Dengan memperkasa PKS kita, AFFIN secara langsung menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi komuniti serta memupuk ekosistem keusahawanan yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sr Dr Wan Lizozman Wan Omar sempena pembukaan cawangan baharu bank itu di Satok di sini, hari ini.
