TIANJIN: Sarawak meneruskan usahanya dalam memacu visi industri hijau ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Tahunan World Economic Forum (WEF) New Champions 2025 yang berlangsung di Tianjin, China.
Menurut kenyataan media Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) hari ini, delegasi kerajaan negeri diketuai Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Turut menyertai beliau dalam lawatan kerja rasmi ke Tianjin ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datu Jafri Lias, serta Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datu Abg Ahmad Abg Morni.
Selain mengangkat imej Sarawak sebagai negeri yang komited terhadap pembangunan mampan dan masa depan tenaga hijau, penyertaan dalam forum ini turut memperkukuh pengiktirafan bersejarah apabila Bintulu diumumkan sebagai kluster industri pertama Malaysia di bawah inisiatif Transforming Industrial Clusters oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun lalu.
Pengiktirafan oleh WEF ini meletakkan Sarawak di landasan utama transformasi industri berasaskan inovasi dan kelestarian.
Delegasi Sarawak turut mengadakan pertemuan bersama Ketua Inisiatif Transforming Industrial Clusters WEF, Jörgen Sandström bagi membincangkan langkah strategik, termasuk sesi pembentangan rasmi oleh Premier Sarawak yang dijangka berlangsung di WEF Davos tahun hadapan.
“Penyertaan dalam inisiatif global ini bukan sahaja meletakkan Sarawak di radar pelabur antarabangsa, tetapi juga mengukuhkan kedudukan kita sebagai hab industri dan tenaga masa depan yang lestari,” kata Julaihi dalam kenyataan tersebut.
Antara perkembangan penting di Tianjin termasuk pertemuan dengan GUOFUHEE / Asia Energy yang merancang projek eksport hidrogen cecair bersama Bintulu Port Holdings Berhad.
Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai projek itu bakal dimeterai pada International Energy Week 2025 di Kuching, seiring dengan pelaksanaan Sarawak Hydrogen Economy Roadmap (SHER).
