Waspada pihak mengaku wakil kerajaan dalam urusan pendidikan tinggi percuma

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak pernah melantik individu, ejen atau pihak ketiga untuk menawarkan pendidikan tinggi percuma termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), pihaknya memandang serius maklumat diterima berhubung segelintir pihak yang menjanjikan peluang pendidikan percuma itu dengan bayaran atau imbuhan tertentu kepada orang awam.

“Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati menipu atau menyalahgunakan nama Kementerian dan Kerajaan Sarawak bagi tujuan peribadi,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, kementerian itu menggesa orang awam agar tidak mudah terpedaya tawaran sedemikian dan berwaspada terhadap individu atau pihak mengaku mewakili Kerajaan dalam urusan berkaitan pendidikan percuma.

MEITD juga menggesa orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan sebarang keraguan atau percubaan penipuan dan menegaskan kenyataan rasmi berkaitan FTES hanya akan dikeluarkan melalui saluran komunikasi rasmi Kerajaan Sarawak.
Tamat