BINTULU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyantuni peniaga di Pasar Tamu Bintulu di sini, hari ini.
TYT dan isteri ditemani Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta isterinya, Datin Shorgayah Ahmad Zaidin.
Ketibaan TYT pada jam 11.30 pagi disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendent Nixon Joshua Ali.
Pasar Tamu Bintulu menjual pelbagai produk tempatan dan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, serta produk-produk kering seperti ikan masin, ragi, rokok daun nipah, kapur, cincaluk, udang kering, keropok, kuih-muih dan bermacam-macam lagi barangan tempatan.
Lawatan mesra ini merupakan salah satu cara TYT Sarawak bersama isteri bersemuka serta berinteraksi dengan rakyat tempatan, sambil meneroka kawasan di sekeliling Bandar Bintulu.
Menerusi kesempatan ini, kedua-duanya bertanya khabar serta merakam gambar kenang-kenangan bersama peniaga tempatan.
Mereka akan menghadiri Majlis Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 2025 di Dewan Suarah Bintulu esok hari.
