KPWK terokai peluang kerjasama dengan organisasi wanita berjaya

JAKARTA: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Awal dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) melawat organisasi wanita berjaya Indonesia, di sini, semalam.

Lawatan bermula di Kementerian Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak Republik Indonesia dan di Permodalan Nasional Madani (PNM) Indonesia, UN Women Indonesia serta penutupnya di Kongres Wanita Indonesia (KOWANI).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Awal dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang mengetuai lawatan terbabit dengan matlamat utama mewujudkan hubungan strategik dan meneroka peluang kerjasama dengan organisasi wanita berjaya di Indonesia.

“Kami juga mahu mempelajari pencapaian Indonesia dalam memperkasa wanita, khususnya melalui strategi pembangunan yang berkesan, pendekatan inovatif dan amalan terbaik diperkenalkan oleh kerajaan mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Delegasi Sarawak turut disertai Timbalan Menteri KPWK, Datuk Rosey Yunus dan Datuk Mohammad Razi Sitam, Setiausaha Tetap KPWK, Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Salmah Jobeli.