SAMARAHAN: Semua pelajar harus menjadikan Matematik sebagai teman setia dalam pengembaraan ilmu, nasihat Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau berkata, pelajar tidak perlu takut kepada nombor, sebaliknya anggaplah Matematik sebagai bahasa universal yang membuka pintu kepada inovasi, teknologi dan masa depan yang cerah.
“MEITD komited memperkasa pembangunan modal insan berkualiti tinggi serta menjadikan pendidikan sebagai pemacu utama ke arah Sarawak maju menjelang tahun 2030,” katanya.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan MEITD, Datuk Annuar Rapaee pada majlis penutupan Pertandingan Akhir Hero Matematik Piala Dato Sri Roland sagah 2025 di UiTM, hari ini.
Program yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu disertai 1,448 murid daripada 111 sekolah rendah di daerah Kuching, Samarahan dan Serian.
Beliau percaya pendekatan itu mampu menjadi pemangkin kepada peningkatkan prestasi pelajar sejak dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pendidikan tinggi.
Ia juga membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Sarawak untuk menceburi bidang STEM sekali gus menyumbang secara signifikan ke arah pembangunan ekonomi digital negeri, tegas beliau.
