141 penerima terima pingat dan darjah kebesaran Sarawak

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyempurnakan istiadat pengurniaan pingat dan darjah kebesaran negeri, di Astana Negeri, di sini, hari ini.

Keseluruhan seramai 141 penerima pingat dan darjah menerimanya bermula dengan pengurniaan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) kepada sembilan penerima yang didahului Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Awang Morshidi.

Ia diteruskan dengan pengurniaan Darjah Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) kepada pensyarah-pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) iaitu Profesor Dr. Edmund Sim Ui Hang dan Profesor Dr. Khairul Adha A. Rahims, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Profesor Madya Ts. ChM Dr Mohammad Isa Mohamadin, Angeline Chia Poh Lin dan Chia Swee Choo.

Seterusnya Darjah Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) kepada 10 penerima, Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) kepada 24 penerima, Darjah Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) kepada 19 penerima dan Darjah Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) kepada 15 penerima, Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) kepada 34 penerima dan Darjah Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) kepada 25 penerima.

Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Harry Jinep.