Sasaran 100 peratus semua sekolah tubuhkan Kelab PALS

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmen terhadap pendidikan kelestarian apabila memperuntukkan pelaburan sebanyak RM13.7 juta tahun lalu bagi memperluas penubuhan Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di semua sekolah negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif itu bukan sahaja menyasarkan pembentukan generasi muda yang lebih prihatin terhadap alam sekitar.

Malah, mencerminkan kesungguhan kerajaan membudayakan amalan hijau bermula dari peringkat akar umbi.

“Inisiatif pemberian geran khas ini bertujuan memastikan 100 peratus sekolah di Sarawak memiliki Kelab PALS menjelang tahun 2030. Ia seiring dengan visi negeri untuk menjadi wilayah hijau, bersih, sihat dan mampan.

“Lebih daripada sekadar bantuan kewangan, geran ini adalah simbol iltizam kerajaan melibatkan secara langsung generasi muda dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Pendidikan Guru Penasihat Kelab PALS Sarawak 2024, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh.

Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, Sarawak kini giat melaksanakan pelbagai langkah ke arah menjadi negeri rendah karbon, melalui pendekatan berteraskan sains, inovasi serta penyertaan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat.

Antara usaha utama termasuk penggubalan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 dan pelaksanaan Dasar Perubahan Iklim Sarawak yang berperanan sebagai rangka kerja kawal selia yang progresif.