Sidang Khas 7 Julai mungkin bincang persempadanan semula kawasan DUN, Parlimen

KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar mengesahkan beliau belum menerima sebarang Rang Undang-Undang (RUU) untuk dibentangkan dalam persidangan khas DUN yang dijadual berlangsung pada 7 Julai ini.

Menurut beliau, walaupun kandungan mesyuarat masih belum dimuktamadkan, notis rasmi telah dikeluarkan kepada semua Ahli Dewan mengikut ketetapan yang termaktub di bawah Peraturan Mesyuarat 8(3).

“Premier Sarawak telah menyatakan kepada saya berhubung hasrat untuk mengadakan satu sidang khas pada 7 Julai 2025. Susulan itu, saya telah mengeluarkan notis panggilan kepada kesemua 82 Ahli Yang Berhormat untuk menghadiri persidangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Parlimen Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asfia memaklumkan bahawa seandainya RUU berkenaan diterima kelak, satu pra-majlis akan diadakan seperti lazimnya, diikuti sidang media bagi memberikan penerangan kepada umum berkenaan agenda yang akan dibincangkan.

Sidang khas berkenaan dijadual bermula pukul 9 pagi hingga 6.30 petang, namun tempoh tersebut boleh dilanjutkan sekiranya perlu berdasarkan peruntukan Peraturan Mesyuarat 9.

Ditanya sama ada sidang itu akan menyentuh isu persempadanan semula kawasan pilihan raya, Asfia tidak menolak kemungkinan tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa satu surat yang ditandatangani beliau telah diedarkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri berhubung pelaksanaan sidang khas tersebut, namun kandungan agenda tidak dinyatakan secara terperinci.