KUCHING: Usaha sedang dijalankan Sarawak Delta Geopark menyertai rangkaian 229 Geopark Global UNESCO di seluruh dunia.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kehadiran dua penilai antarabangsa dari UNESCO, Jean-Simon Pages dan Antonio Garcia Jiminez menandakan detik penting dalam usaha Sarawak itu.
“Kami amat menghargai masa, kepakaran dan perhatian yang diberikan oleh pihak UNESCO dalam menilai potensi Sarawak Delta Geopark sebagai salah satu daripada Geopark Global UNESCO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis makan malam sempena penilaian oleh UNESCO terhadap Sarawak Delta Geopark di Hotel Waterfront di sini, malam kelmarin.
Menurut Len, Sarawak Delta Geopark bukan sekadar landskap semula jadi, malah ‘bilik darjah hidup’ yang mendokumentasikan lebih 200 juta tahun sejarah geologi, biodiversiti dan warisan budaya Sarawak.
