MAKSAK Wanita anjur bacaan Yaasin, tahlil buat Puan Sri Datuk Amar Juma’ani

KUCHING: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Wanita menganjurkan Majlis Bacaan Surah Yaasin dan Tahlil buat Allahyarhamah Penasihat MAKSAK Wanita Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang di Wisma SABATI, di sini hari ini.

Majlis inisiatif MAKSAK Cares itu dihadiri Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang, Penasihat MAKSAK Wanita Datuk Amar Datin Patinggi Jamilah Anu, barisan Exco MAKSAK Wanita, ahli Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) serta ahli keluarga terdekat Allahyarhamah.

Bacaan Surah Yaasin dipimpin oleh Ustazah Anisah Amit dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) disusuli dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah.

Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani, isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menghembuskan nafas terakhir pada 23 Jun lalu di Pusat Perubatan Normah, Kuching dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang.

Allahyarhamah dikenang sebagai tokoh wanita berjiwa rakyat yang banyak berjasa dalam memperkukuhkan agenda kebajikan serta pembangunan komuniti, khususnya melalui penglibatan aktif dalam MAKSAK dan SABATI. — UKAS