Dasar tanah Sarawak diberi kepada persekutuan kini selaras MA63

KUCHING: Kerajaan Sarawak melaksanakan dasar baharu terhadap tanah negeri ini yang diberi kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (FLC) selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh berkata, menerusi dasar ini sejak 2022, setiap tanah diberi milik kepada FLC akan dikenakan syarat khas pembangunan perlu dilaksana dan disiapkan dalam tempoh lima tahun dari tarikh surat hak milik dikeluarkan.

“Sekiranya pembangunan gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, tanah berkenaan hendaklah diserah balik kepada Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro (GPS-PBB), Razaili Gapor pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Sementara itu, mengenai tanah FLC bekas tapak Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin,SK Pusa dan SK Kalok di DUN Beting Maro, katanya Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) kini sedang menyelaras proses penyerahan semula tapak SK Beladin kepada Kerajaan Sarawak bersama Jabatan Ketua PengarahTanah dan Galian (JKPTG).

“Ini memandangkan tiada perancangan pembangunan institusi pendidikan di tapak tersebut pada masa hadapan,” tambahnya.

Manakala tapak SK Pusa pula, katanya kesemua lot tanah tersebut masih digunakan, maka pihak FLC tiada perancangan untuk menyerahkan semula lot-lot tersebut kepada Kerajaan Sarawak.

Len berkata, tapak SK Kalok juga kini masih lagi digunakan sehingga pembangunan di tapak sekolah baharu siap dilaksanakan.