PMKS pacu ekonomi Sarawak

BINTULU: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) terus memperkasa sektor keusahawanan sebagai pemacu utama ekonomi Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Katanya, ini khususnya dalam menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Beliau menegaskan, lebih RM3.3 bilion disalurkan sejak beberapa tahun lalu untuk membantu memperkasa lebih 178,000 usahawan.

Selain itu katanya, lebih 41,800 PMKS turut menerima bantuan khusus bernilai RM204 juta menerusi pelbagai program di bawah MINTRED.

“Ini semua disalurkan dalam bantuan seperti geran, pinjaman industri kecil sederhana dan program seperti Kredit Mikro Sarawak.

“Tahun lepas kita turut membelanjakan jutaan ringgit dana daripada Kerajaan Sarawak untuk mengadakan program seperti ‘Go Digital’ yang mana kita memberi geran RM10,000 di samping program seperti ‘Jom Register,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Showcase Usahawan Sarawak (SUS) 2025 di sini, hari ini.

Sebagai Menteri MINTRED, beliau menekankan pentingnya usahawan Sarawak melangkah keluar dari zon selesa dan meneroka pasaran negeri lain serta antarabangsa.

Tegasnya, perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang ditandatangani Malaysia untuk memasarkan produk ke luar negara perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan Sarawak.