LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yakin sukan tarik tali di negeri ini boleh diketengahkan ke perngkat yang lebih tinggi.
Sarawak, katanya, cukup terkenal dengan sukan itu kerana sering dipertandingkan di peringkat kampung selain mempunyai ramai atlet yang berpotensi.
“Kerjasama semua persatuan tarik tali di Sarawak akan mampu menjadikan sukan itu lebih terkenal,” katanya semasa merasmikan Kursus Pengadilan, Jurulatih dan Teknikal Tark Tali di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong mewakili Awang Tengah pada majlis itu yang dianjurkan oleh Persatuan Tarik Tali Negeri Sarawak dan Persatuan Tarik Tali Malaysia.
Beliau menegaskan, kerjasama persatuan amat penting untuk berada di bawah Persatuan Tarik Tali Sarawak untuk bergerak maju dan mendapat sokongan kementerian bertanggungjawab.
Oleh itu, beliau berharap agar lebih banyak bakat muda dapat dicungkil untuk membawa nama Sarawak di pentas sukan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Hadir sama Presiden Persatuan Tarik Tali Sarawak Steve Lius, Presiden Persatuan Tarik Tali Malaysia Rusle Mat Ariff, Ketua Teknikal Persatuan Tarik Tali Malaysia Major (B) Azmi Mohammad dan Penasihat Persatuan Tarik Tali Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
Pada majlis itu, Henry Sum mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Tarik Tali Lawas.
