KUCHING: Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universit Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang diwakili Institut Kelestarian dan Tenaga Diperbaharui (ISuRE) dan Siemens Energy Malaysia menandakan pencapaian penting mengukuhkan kerjasama pembangunan strategik akademik-industri dalam bidang kelestarian tenaga.
MoU yang diadakan pada Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam menandakan perkongsian komitmen dalam mempercepatkan penyelidikan peralihan tenaga, menggalakkan inovasi melalui peruntukan industri dan meningkatkan inisiatif pembangunan keupayaan untuk pelajar dan kakitangan akademik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis pertukaran MoU itu antara Pengerusi UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dengan Pengarah Urusan Siemens Energy Malaysia, Azli Mohamed.
Pada majlis itu UNIMAS diwakili Timbalan Naib Cancellor (Penyelidikan dan Inovasi), Ir. Dr Siti Norr Linda Taib, dan Penolong Naib Cancellor (Industri dan Penglibatan Masyarakat),
Profesor Bersekutu Ts Noraziah Abdul Wahab dan Pengarah ISuRE, Ts Dr. Shanti Faridah Salleh dan pemegang taruh.
Kerjasama itu menandakan peranan penting UNIMAS dalam memacu penyelidikan dan inovasi berimpak besar, sambil mengukuhkan agenda Sarawak dan Malaysia lebih luas melalui perkongsian bermakna dengan pemimpin industri global.
