BINTULU: Kerajaan Sarawak sedang menjalankan penyelidikan menghasilkan cip berskala dikenali cip kuasa Kecerdasan Buatan (AI), kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak berharap menjelang akhir tahun ini berjaya mendaftarkan harta intelek (IP) antarabangsa bagi cip kuasa AI itu.
“Dalam pada itu, kita (Sarawak) mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai semikonduktor menerusi pelaburan strategik terbaharu dalam pengeluaran bahan semikonduktor bertaraf dunia,” katanya pada upacara pecah tanah OCI Tokuyama Semiconductor Material (OTSM) Semiconductor-Grade Polysilicon Plant di Taman Perindustrian Samalaju di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, kerjasama antara OCI Terrasus dan Tokuyama Corporation merupakan testimoni kukuh keyakinan pelabur terhadap Sarawak sebagai destinasi pelaburan teknologi tinggi yang strategik dan lestari di rantau ini.
“Kerjasama itu akan menghasilkan polisilikon gred semikonduktor, bahan berketulenan tinggi yang penting dalam rantaian bekalan global semikonduktor – daripada telefon pintar ke kenderaan elektrik, pusat data dan teknologi AI,” katanya.
Dengan pelaburan ini, Sarawak mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai semikonduktor global dan melangkah setapak lagi ke arah menjadi hab pembuatan teknologi maju di rantau ini, tambah beliau
“Ini selaras dengan Rangka Kerja Strategik Semikonduktor Sarawak yang menyasarkan untuk menarik pelaburan merentasi keseluruhan rantaian nilai,” jelasnya.
Industri semikonduktor, katanya, kini berkembang pesat dan Sarawak tidak mahu ketinggalan dengan membangunkan syarikat semikonduktor milik penuh kerajaan negeri, di samping menjalinkan kerjasama dengan institusi akademik di United Kingdom (UK).
Katanya, Kerajaan Sarawak juga akan membangunkan industri itu apabila membentuk firma Pembuatan Semikonduktor Sarawak sendiri.
“Dalam masa sama, melakukan kepakaran kolaboratif bersama-sama akademi di UK dan Kerajaan Sarawak sedang menubuhkan makmal di UK iaitu Cardiff, Wales,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan Pengerusi OCI Holdings dan OCI Terrasus, Woohyun Lee.
