KUCHING: Forum Perniagaan Islam Global (GMBF) 2023 yang dijadual diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada 28 hingga 30 November, 2023, akan menjadi hab ilmu pengetahuan kepada kerajaan, syarikat dan masyarakat massa menerokai amalan perniagaan dalam kewangan Islam, teknologi hijau dan pertanian secara terbaik dan inovatif.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada sidang media di sini berkata, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden Indonesia, Prof. Dr. Kyai Ma’ruf Amin dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian makan malam gala forum itu di sini pada 28 November.
Forum bertemakan ‘Menginovasi dan Mentransformasi Ekonomi Islam’ itu akan mengetengahkan ucaptama daripada pemimpin-pemimpin dunia, katanya yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur GMBF 2023.
Forum tiga itu dihoskan oleh Kerajaan Sarawak dan dianjurkan bersama oleh Institut Strategik KSI Asia Pasifik, Dewan Perdagangan, Industri dan Pertanian Islam (ICCIA) dan Global One. ICCIA adalah gabungan institusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan wakil bagi sektor swasta Islam di 66 negara.
Awang Tengah berkata, GMBF 2023 bertujuan untuk menangani cabaran dan menerokai peluang ekonomi dan menghubungkan dunia Islam dengan mengeratkan lagi hubungan dan perkongsian terutama di Timur Tengah, Asia dan seluruh dunia.
Forum itu juga, katanya, menggalakkan inisiatif dan program berasaskan sosial dan impak ekonomi untuk membasmi kemiskinan dan memupuk bidang keusahawan dan perniagaan.
Selain itu, tambahnya, forum itu juga menggalakkan pelaburan di negara-negara berkenaan dengan menerokai peluang pertumbuhan baharu dan mendedahkan potensi sumber dan pasaran yang beloum diterokai.
Awang Tengah berkata,forum itu dijangka dihadiri oleh 1,000 peserta termasuk pemimpin terkemuka dunia dan menyediakan ruang berkaitan trend terkini dalam pelbagai sektor perniagaan dan platform terbaik untuk menghubungkan dunia Islam dengan masyarakat bukan Islam.
Sebanyak 37 negara menyertai forum itu antaranya Pakistan, Australia, Poland, Kanada dan negara Eropah lain serta negara ASEAN.
Lebih 60 penceramah tempatan dan dari negara ASEAN serta negara lain akan berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan pelbagai isu seperti inovasi, ekonomi baharu, teknologio digital, tenaga hijau, keselamatan makanan, industri halal dan keusahawan.
