KUCHING: Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak boleh terikat dengan Undang-undang Negara meskipun tidak tertakluk kepada Undang-undang Ombudsman Sarawak yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jika Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak didapati terlibat dalam salah guna kuasa dan pentadbiran, mereka masih boleh dikenakan tindakan Undang-undang lain.
“Ada yang mengatakan, Menteri dan Timbalan Menteri tidak tertakluk di bawah Undang-undang Ombudsman ini, memang betul tidak tertakluk, tetapi mereka boleh disiasat di bawah Undang-undang lain,” katanya semasa menghadiri Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sini.
Abang Johari menegaskan, jika Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak terbukti menyalahgunakan kuasa dan pentadbiran dan terdapat bukti kukuh menunjukkan kesalahan, mereka masih boleh dikenakan tindakan di bawah Undang-undang lain.
“Katakanlah Menteri dan Timbalan Menteri memberi arahan (untuk melakukan salah tadbir), mereka terkecuali (daripada tindakan Ombudsman), namun sekiranya pihak Ombudsman mempunyai bukti kukuh yang arahan tersebut datang dari Menteri dan Timbalan Menteri, mereka tidak akan terlepas,” katanya.
Sebab itulah Kerajaan Sarawak, tambahnya, tidak takut dan mahukan kerajaan yang bersih.
Isnin lalu, DUN Sarawak meluluskan RUU Ombudsman Sarawak 2023 selepas mendapat persetujuan sebulat suara anggota dewan.
RUU itu diluluskan selepas dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada bacaan kali ketiga.
Undang-undang Ombudsman khas untuk Sarawak itu menyediakan pengawasan bebas terhadap prestasi agensi perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya dan Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain.
GAMBAR:JABATAN PREMIER
