KUCHING: Bahagian Kuching mencatat 74 kes atau 34.1 peratus daripada keseluruhan 217 kes jangkitan HIV baharu sepanjang tahun 2024.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kadar jangkitan itu di negeri ini memerlukan perhatian seirus memandangkan kes terbabit kini mencecah 8.62 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
“Selain Kuching, beberapa bahagian lain turut menunjukkan angka yang membimbangkan,”katanya pada sidang media selepas merasmikan Dialog Serantau ASEAN Mengenai Ubat Antiretroviral Mampu Milik dan Bengkel Pengukuhan Saringan serta Rawatan Komuniti untuk Populasi Utama di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, antaranya bahagian lain ialah Bintulu mencatat 36 kes, Miri (35 kes), Sibu (27 kes) dan Samarahan (20 kes).
“Trend ini lebih ketara di kawasan bandar dan menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha pencegahan serta rawatan di peringkat komuniti,” katanya.
Lukanisman mendedahkan, 76 peratus daripada kes baharu melibatkan lelaki yang menjalani gaya hidup berisiko tinggi malah terdapat peningkatan ketara dalam kalangan remaja dan dewasa muda berusia bawah 40 tahun.
“Ini membuktikan bahawa HIV bukan lagi isu terpencil, tetapi cabaran kesihatan awam yang terus berubah mengikut pola sosial dan demografi,” katanya.
Di peringkat kebangsaan, Malaysia telah mencatat pengurangan 50 peratus dalam kes baharu HIV sejak 2010.
