KUCHING: Sarawak akan terus lantang melaungkan suaranya dalam mempertahankan hak-hak wilayah ini sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Sarawak, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan bahawa, komitmen ini bukan sahaja menjadi asas kepada kemajuan Sarawak, malah mencerminkan suara dan martabat rakyat Sarawak yang mahu masa depan wilayah yang cerah.
“Hari Sarawak menjadi simbol perjuangan dan kebangkitan rakyat Sarawak dalam menentukan hala tuju dan masa depan wilayah ini.
“Kita akan terus memastikan hak-hak Sarawak dipelihara dan diperkasa selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Sarawak MA63 dan laporan IGC,” katanya dalam perutusan sempena Hari Sarawak 2025, hari ini.
Menurut beliau, segala pencapaian ini merupakan manifestasi ketegasan visi serta iltizam berterusan Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan suara Sarawak sentiasa didengari dan dihormati.
Maka itu, beliau mengajak seluruh rakyat Sarawak khususnya belia untuk bangkit bersama dan menyokong segala usaha kerajaan negeri untuk menuntut semula hak-hak mereka.