MIRI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memastikan sumber negeri ini diberi nilai tambah dengan mengwujudkan industri-industri hiliran khususnya sektor minyak dan gas berpandukan pelan jangka panjang “Sarawak Gas Roadmap” (SGR).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau yakin apabila terlaksana sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun, SGR akan berupaya menarik pelaburan bernilai RM300 bilion.
Selain itu katanya, dapat menjana pengeluaran bernilai RM120 bilion daripada rantaian produk dan perkhidmatan.
Industri baharu itu kataya, akan diwujudkan terutamanya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui untuk menjanakan tenaga sehingga 15,000 megawatt menjelang 2035. Ia bukan hanya untuk kegunaan dalam negeri tetapi juga untuk dieksport ke negara-negara ASEAN.
“Saya yakin usaha ini akan menjana ekonomi Sarawak dan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak untuk mempertingkatkan pendapatan isi rumah bagi keseluruhan rakyat. Ia sekali gus mengikis sindiran pihak tertentu bahawa Sarawak adalah “negeri kaya tapi rakyat miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Sarawak 2025 di sini, malam ini. Tema sambutan ialah ‘Sarawak Maju Makmur’.
Majlis tersebut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta menteri-menteri kabinet negeri.
Abang Johari menambahkata, ekonomi Sarawak menunjukkan peningkatan memberangsangkan sehinggakan Bank Dunia mengiktirafkan Sarawak
sebuah kawasan berpendapatan tinggi untuk tiga tahun berturut-turut mulai 2022 berdasarkan angka Pendapatan Negara Kasar per kapita (GNI) sebanyak RM73,100 (USD$17,000) pada 2024, suatu angka yang melangkau nilai ambang sebanyak RM63,800 (USD15,000) yang ditetapkan oleh bank tersebut.
Katanya, status ini meletakkan Sarawak pada kedudukan keempat selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, dan Pulau Pinang, mengatasi Selangor.
“Alhamdulillah, berpandukan dasar ekonomi yang jelas, konkrit dan berpandangan jauh Sarawak telah mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi lapan tahun lebih awal daripada yang disasarkan,” katanya.