KUALA LUMPUR: Langkah-langkah yang diumum Perdana Menteri, Dato Sri Anwar Ibrahim dalam penghargaan untuk rakyat membuktikan keberkesanan dasar MADANI membela rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, pengumuman itu juga mencerminkan tekad kerajaan perpaduan untuk terus memlihara amanah dan kebajikan rakyat.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata,
ia adalah seruan penyatuan dan penghargaan terhadap semua yang menyumbang kepada pembangunan negara dan bukti jelas Malaysia MADANI bukan sekadar slogan tetapi gerakan nasional yang rakyat jayakan bersama.
“Tegas pada dasar, jelas pada hala tuju, Perdana Menteri berjaya menanam keyakinan bahawa reformasi fiskal sedang berjalan atas landasan yang betul dengan sokongan rakyat sebagai nadi utama,” kata Fadillah dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat
Malaysia oleh Perdana Menteri, hari ini.
Menurut beliau, di bawah Kerajaan MADANI, kejayaan negara kini semakin kukuh dengan KDNK suku pertama 2025 mencecah 4.4% dan diunjurkan 4.5% pada suku kedua 2025.
Harga minyak RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter, katanya, membuktikan bahawa reformasi tidak semestinya membebankan, malaha memberi keadilan dan kelegaan kepada majoriti rakyat.
Beliau turut menyambut baik pengumuman cuti umum tambahan pada 15 September 2025 sempena Hari Malaysia tahun ini.
“Marilah kita bersatu hati, berganding tenaga, terus mendukung agenda MADANI yang memberi makna kepada kehidupan rakyat,” katanya.