Pelajar kumpulan B40 meningkat di UTS

SIBU: Peratusan pelajar daripada kumpulan B40 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, kini menyaksikan peningkatan ketara, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rafaee.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UTS berkata, peningkatan daripada hanya lapan peratus kepada hampir 40 peratus sejak beberapa tahun lalu adalah hasil pendekatan inklusif UTS.

“UTS bukan milik eksklusif golongan berada, sebaliknya merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) milik rakyat Sarawak yang ditubuhkan demi manfaat semua golongan,” katanya pada majlis makan malam penghargaan UTS di RH Hotel di sini, malam tadi.

Beliau berkata, semasa awal pelantikannya sebagai Pengerusi UTS pada 2021, universiti itu berdepan pelbagai cabaran termasuk persepsi negatif masyarakat yang menganggap UTS hanya untuk golongan berada, disebabkan kadar yuran pengajian tinggi.

Situasi itu, katanya, bukan berpunca daripada dasar universiti yang eksklusif, sebaliknya disebabkan kekangan kewangan dalam menampung kos operasi universiti yang masih baharu ketika itu.

“Semasa pilihan raya negeri (PRN), saya telah diprovokasi oleh beberapa individu yang mendakwa UTS dibina dengan dana kerajaan, tetapi tidak terbuka kepada golongan berpendapatan rendah.

“Saya duduk berbincang dengan Prof. Dr Khairuddin dan kami mengakui bahawa majoriti pelajar ketika itu memang terdiri daripada keluarga berpendapatan tinggi kerana yuran yang dikenakan.

“Namun, kita tidak boleh menyalahkan UTS – mereka juga bergelut untuk bertahan. Menguruskan universiti bukan sesuatu yang murah,” katanya.

Dr Annuar berkata, melihat kepada keperluan mendesak untuk mengubah persepsi dan membuka akses pendidikan tinggi kepada semua, beliau bersama pihak pengurusan UTS telah mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak supaya memperkenalkan biasiswa 50 peratus kepada semua pelajar serta biasiswa tambahan 80 peratus khusus untuk pelajar daripada kumpulan B40.

Inisiatif ini tambah beliau, memberi impak ketara dengan menyaksikan peningkatan jumlah pelajar daripada sekitar 1,000 orang kepada lebih 4,000 pelajar ketika ini dan dijangka mencecah 5,000 pelajar menjelang hujung tahun ini iaitu kapasiti maksimum universiti pada masa ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan pendidikan tinggi percuma bermula tahun hadapan, Dr Annuar menyifatkannya sebagai langkah berani dan bersejarah oleh Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkasakan modal insan negeri ini.