LABUAN: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) buat pertama kali menyertai Borneo Flora Festival 2025 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, di sini, bermula hari ini hingga 30 Julai ini.
Menurut kenyataan media DBKU, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah menyempurnakan majlis perasmian festival anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan terbabit.
DBKU menyertai kategori Agensi Kerajaan dan Korporat dengan mewujudkan reka bentuk laman “Bandaraya Perpaduan” yang berkonsepkan “Landskap Sebagai Wadah Perpaduan”.
“Tajuk dan konsep ini bermatlamat untuk menonjolkan keunikan flora tropika Borneo amnya dan Sarawak khasnya,”menurut DBKU.
Selain itu, laman ini turut memuatkan pelbagai elemen pintar dan mesra alam, menjadikannya taman berfungsi untuk semua lapisan masyarakat khususnya OKU, warga emas dan kanak-kanak.
“Antara elemen yang diketengahkan termasuk penggunaan tenaga hijau melalui pemasangan lampu taman berkuasa solar,”tambahnya.
Ini sejajar dengan amalan kelestarian dan sokongan terhadap tenaga boleh diperbaharui selaras dengan inisiatif Kerajaan Sarawak.
Sehubungan itu DBKU menjemput semua pihak terutama rakyat Sarawak di Labuan untuk datang singgah ke laman DBKU seterusnya memeriahkan lagi Borneo Flora Festival 2025.
