KUALA LUMPUR: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunaikan janji dengan mengagihkan Bantuan Kewangan Khas (BKK) Pelajar Sarawak di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang bermula hari ini.
Kira-kira 42,000 pelajar Sarawak yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara akan menerima bantuan tersebut yang akan disalurkan secara berperingkat.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak diterajui GPS sudah menunaikan janji seperti mana yang diumumkan semasa Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) sebelum ini.
“Ia bagi mencari inisiatif membantu pelajar IPT Sarawak di seluruh negara. Jadi, hari ini saya menunaikan janji saya. Untung anak-anak Sarawak kerana mendapat bantuan kewangan yang disediakan, tapi pelajar beruntung bukan hanya sebagai anak Sarawak tetapi beruntung kerana memiliki Kerajaan Sarawak yang prihatin,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak Di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali serta Ahli-ahli Parlimen.
Menurutnya, inisiatif BKK sebanyak RM1,200 ini disalurkan melalui aplikasi S PAY Global melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM50.4 juta.
“Ini kerana, tidak semesti kerajaan dapat menunaikan janji seumpamanya, tetapi kita mempunyai Kerajaan Sarawak yang prihatin, yang tahu masa depan Sarawak, bagaimana hendak menurunkan kemiskinan dan bagaimana hendak memantapkan ekonomi Sarawak di peringkat global,” tambahnya.
Premier Sarawak juga menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pendidikan generasi muda dan merancakkan pembangunan ekonomi negeri menerusi pelbagai inisiatif strategik.
Beliau menjelaskan, bantuan ini diberikan tanpa mengira latar belakang sosial pelajar, sebagai satu bentuk sokongan strategik ke arah melahirkan generasi muda Sarawak yang intelek, berdaya saing dan mampu meneroka peluang bukan sahaja di dalam negeri, malah di peringkat antarabangsa.
“Kita sedang mempersiapkan anak-anak Sarawak untuk menjadi tenaga profesional bertaraf global.
“Struktur ekonomi dunia telah berubah. Oleh itu, kita perlu bersedia untuk bekerja dan bersaing di luar sempadan Sarawak,” ujar beliau.
Terdahulu, Roland Sagah memberitahu, setiap pelajar layak menerima RM600 setiap semester, bersamaan dua kali setahun sepanjang tempoh pengajian mereka.
Katanya, sebagai usaha berterusan memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada menerima manfaat ini, fasa kedua permohonan akan dibuka pada September depan.
