Sarawak peneraju tenaga diperbaharui, hab semikonduktor dan angkasa lepas

PONTIANAK: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai rombongan dari Sarawak ke Pontianak, Indonesia semalam bertemu dengan Gabenor Kalimantan Barat, Drs. H. Ria Norsan untuk membincangkan hubungan strategik.

Lawatan itu mencerminkan komitmen Sarawak untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala, menarik pelaburan bernilai tinggi, memupuk inovasi dan meningkatkan kesepaduan ekonomi serantau.

Pada majlis pertemuan itu, Awang Tengah mengetengahkan peranan Sarawak sebagai peneraju wilayah dalam tenaga diperbaharui dan hab semikonduktor dan industri angkasa lepas, dalam usaha Sarawak memacu pelaburan bernilai tinggi dan inovasi.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin juga meliputi kesalinghubungan udara termasuk penerbangan Kuching-Pontianak yang disambung semula pada September 2025.

Pengambilalihan MASWings oleh Kerajaan Sarawak yang dijenamakan semula sebagai AirBorneo dan pelancaran laluan bas Singkawang ke Kuching pada 2024.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesalinghubungan wilayah, perdagangan rentas sempadan, pelancongan dan hubungan perniagaan rentas sempadan Borneo dan wilayah ASEAN yang lebih luas.

Awang Tengah turut mencadangkan mengukuhkan lagi nomalisasi perdagangan di sempedan termasuk cadangan mewujud jawatankuasa ekonomi sempadan bersama untuk kemajuan bersama di sepanjang sempadan.

Kedua-dua wilayah menaruh minat mendalam meningkatkan hubungan antara rakyat dan pertukaran perniagaan. Penerbangan terus Kuching-Pontianak mulai 12 September 2025 dijangka meningkatkan sektor pelancongan dan kesihatan.

Inisiatif Kerajaan Sarawak menubuhkan Pejabat Dagangan dan Pelancongan (STATO) di Pontianak akan mengukuhkan lagi komitmen kesepaduan wilayah dalam jangka masa panjang.

Lawatan itu berakhir dengan komitmen bersama menjayakan inisiatif berkenaan yang akan meningkatkan kesalinghubungan, menggalak inovasi dan memacu kemakmuran ekonomi untuk Sarawak dan Kalimantan Barat.