KUCHING: Syarikat di Sarawak diharap menyertai Indeks Industri Harmoni (IHI) SA yang menunjukkan tahap hubungan antara majikan dan pekerja.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, ini melalui platform Industrial Relations Information System (IRIS) yang disediakan secara percuma Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM).
“Syarikat yang melaksanakan IHI SA dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan akan memperoleh Sijil Penarafan Syarikat Harmoni (SPSH),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perasmian Program Keharmonian Perusahaan Sarawak Tahun 2025 di sini, hari ini.
Gerawat berkata, sijil itu sebagai satu usaha penjenamaan sebagai syarikat harmoni kepada pelabur, pasaran kerja dan persaingan industri di Malaysia dan Sarawak khususnya.
Menurutnya, hubungan antara majikan dan pekerja di negeri ini berada pada tahap baik dan ini dibuktikan menerusi Skor IHI Negeri Sarawak yang telah menunjukkan peningkatan daripada 79.3 peratus pada 2022 kepada 81.5 peratus pada 2024.
Justeru katanya, Sarawak akan meneruskan usaha untuk mencapai indeks 83 peratus yang dicatatkan oleh negara.
“Tak silap saya, IHI Nasional bagi peringkat Malaysia adalah 83 peratus, jadi kita masih lagi ada kerja yang perlu dibuat untuk meningkatkan daripada 81.5 peratus kepada 83 peratus,” katanya.
Tambahnya, prestasi ini menunjukkan realiti landskap perhubungan perusahaan dan juga senario perburuhan yang harmoni di Sarawak.
