Menjamin hak pendidikan setiap anak, cadang bantuan awal persekolahan ditambah – Ahmad Johnie

KUALA LUMPUR: Dasar pendidikan wajib sekolah menengah adalah komitmen Kerajaan Persekutuan bagi menjamin hak pendidikan setiap kanak-kanak di Malaysia.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, dasar tersebut juga bertujuan memastikan semua kanak-kanak menamatkan pendidikan menengah dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan setara dalam bidang teknikal dan vokasional yang diiktiraf Kerajaan.

“Sejak pendidikan rendah diwajibkan pada tahun 2003, kadar enrolmen sekolah meningkat drastik hampir 99 peratus.

“Adalah diharapkan langkah mewajibkan pendidikan menengah akan memberi kesan sama kerana ketika ini enrolmen masih sedikit di bawah 95 peratus paras enrolmen sejagat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan Sekolah Menengah pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurutnya, penguatkuasaan akta ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah keciciran pelajar, khususnya di luar bandar dan pedalaman, malah membuka peluang masa depan yang lebih baik kepada setiap pelajar untuk terus melanjutkan pelajaran dan membina model insan yang berdaya saing.

Bagaimanapun, Ahmad Johnie mengakui pelaksanaan dasar tersebut berdepan cabaran ekosistem pendidikan di Sarawak, terutama dari segi akses geografi.

“Realiti di luar bandar Sarawak memberi kesan besar terhadap pelaksanaan dasar ini. Ramai ibu bapa enggan menghantar anak ke sekolah menengah kerana faktor keselamatan dan kos perjalanan yang tinggi.

“Di beberapa kawasan Parlimen Igan, murid dari rumah panjang di pesisir sungai terpaksa menaiki bot atau melalui jalan ladang kelapa sawit kerana tiada sekolah menengah berdekatan,” katanya.

Beliau berkata masalah ini turut dihadapi murid di kawasan Hulu Rajang, Baram, Hulu Belaga dan beberapa kawasan pedalaman lain.

Terdapat kawasan luar bandar yang tidak mempunyai perkhidmatan bas sekolah tetap, manakala keluarga pula tidak mampu menampung kos pengangkutan swasta yang tinggi.

“Di Sarawak terdapat lebih 1,250 sekolah luar bandar merangkumi kawasan pesisir sungai, pedalaman, pulau dan perkampungan terpencil. Ramai pelajar luar bandar tidak mempunyai akses kepada sekolah menengah yang berdekatan dan terpaksa bersekolah jauh dari rumah. Namun, tidak semua sekolah menyediakan asrama,” jelasnya.

Beliau berkata keadaan ini mendorong kadar keciciran meningkat kerana keluarga tidak mampu menanggung kos yang tinggi.

Tambahan pula, keadaan asrama yang uzur serta kurang kemudahan asas seperti air bersih, bilik belajar dan akses internet menyebabkan ibu bapa kurang yakin untuk membenarkan anak mereka tinggal di asrama.

Ahmad Johnie berkata, penguatkuasaan dasar pendidikan menengah wajib juga harus mengambil kira tekanan sosioekonomi dan kemiskinan yang membelenggu ramai keluarga di pedalaman.

“Ramai pelajar terpaksa berhenti sekolah kerana perlu bekerja membantu keluarga. Ada ibu bapa pula tidak mampu membeli pakaian seragam dan keperluan pelajaran lain, lalu memilih untuk tidak menyambung persekolahan anak ke peringkat menengah,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, faktor kemiskinan menjadi penghalang utama pelajar luar bandar menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Persepsi bahawa tamat sekolah rendah sudah mencukupi untuk bekerja di kedai, kilang dan sebagainya masih wujud kerana pendidikan menengah dianggap tidak memberi pulangan segera malah membebankan, katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya bantuan awal persekolahan ditambah dan disasarkan kepada pelajar miskin untuk membeli keperluan asas sekolah.

“Kerajaan juga perlu mempertimbangkan pemberian biasiswa kecil bulanan kepada pelajar berprestasi daripada keluarga miskin, membina sekolah menengah baharu di luar bandar, menyelesaikan segera isu sekolah daif serta mewujudkan pusat komuniti pembelajaran di rumah panjang atau dewan kampung sebagai sokongan pembelajaran di luar waktu sekolah,” tegasnya.