KUCHING: Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak 2025 akan diadakan di Kompleks Sukan Satok @ Padang SLPAS, di sini, pada 2 Ogos ini.
Menurut kenyataan media Jabatan Penerangan Sarawak, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol akan menyempurnakan majlis itu mewakili Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025.
Majlis peluncuran ini kesinambungan kepada Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 27 Julai lalu.
“Pelbagai pengisian utama diadakan pada hari tersebut termasuk Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), dan Karnival Kita MADANI Peringkat Sarawak 2025,”menurut kenyataan itu.
Turut diadakan persembahan hiburan PENTARAMA, Jualan Rahmah, pameran oleh jabatan serta agensi, selain reruai jualan daripada Komuniti MADANI sekitar Kuching.
Sementara itu, bagi pelepasan Konvoi KMJG 2025 Peringkat Sarawak, destinasi pertama mereka ialah di Dewan Kampung Tematu, Batu Kitang, sebelum meneruskan kembara ke beberapa checkpoint di seluruh Sarawak melibatkan lima fasa dan berakhir pada sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2025.
“Setiap pergerakan dan laluan Konvoi KMJG 2025 akan dikemas kini melalui saluran media sosial Jabatan Penerangan Sarawak dari semasa ke semasa,”tambah jabatan itu.
Setiap checkpoint ini juga turut diselitkan program-program khas sempena sambutan HKHM yang berkonsepkan hiburan bermaklumat dan orang ramai dijemput menterjemah semangat patriotik dan rasa bangga menjadi anak Malaysia melalui kibaran Jalur Gemilang.
