KUCHING: Sarawak antara wilayah terawal di rantau ini yang menggabungkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan teknologi dalam menangani krisis perubahan iklim global secara menyeluruh.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, inisiatif itu diterajui di bawah kementerian baharu yang dipimpinnya sejak 2022, selaras visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Idea Premier ini sejak enam hingga tujuh tahun lalu dan kementerian kami bertanggungjawab merealisasikan agenda mitigasi iklim melalui dua pendekatan utama.
“Ia adalah penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan penyelesaian berasaskan teknologi,” katanya.
Beliau berucap demikian di majlis penutupan International Seminar on Humanity & Climate Change Crisis: A Multidimensional Perspective di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini hari ini.
Menurut Dr Hazland, Sarawak dikurniakan kelebihan luar biasa dalam kedua-dua pendekatan tersebut.
Katanya, hampir 62 peratus daripada 12.5 juta hektar tanah negeri ini dilitupi hutan yang bertindak sebagai penyerap karbon semula jadi, selain potensi penyimpanan karbon di dasar laut yang dianggarkan mencecah sembilan bilion tan.
“Ini bermakna, Sarawak mempunyai kapasiti menyimpan sehingga 10 bilion tan karbon, satu kekuatan yang tidak boleh diabaikan,” katanya.
