KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menambah dana untuk meningkatkan bilangan dan kapasiti sekolah menengah, khususnya di luar bandar, bagi memastikan akses pendidikan lebih adil dan menyeluruh.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, laluan pendidikan alternatif termasuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga perlu diperkukuh, manakala kapasiti sekolah vokasional sedia ada wajar dinilai semula agar pelaksanaan RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 benar-benar inklusif.
“Kelemahan asas membaca, menulis dan mengira (3M) menjadi punca utama keciciran murid. Laporan PISA 2022 menunjukkan lebih 59 peratus murid gagal menguasai Matematik asas dan hampir separuh lemah dalam membaca, dengan prestasi Malaysia ketinggalan berbanding Vietnam dan Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan Sekolah Menengah pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Rodiyah mencadangkan semakan semula sukatan pelajaran sekolah rendah yang dianggap terlalu kompleks serta pelaksanaan program intervensi menyeluruh termasuk pemulihan akademik, sokongan psikososial dan pengesanan awal murid berisiko keciciran.
Beliau turut menggesa mekanisme pentaksiran baharu yang lebih formatif dan diagnostik diperkenalkan berikutan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR.
Dalam pada itu, katanya, Sarawak akan memperkenalkan Pentaksidan Standard dengan kerjasama Cambridge University Press and Assessment (CUPA) yang diwajibkan kepada semua pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 sebagai model pentaksiran baharu.
