KUALA LUMPUR: Kestabilan politik serta dasar ekonomi yang kukuh dan mampan membolehkan Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melaksanakan pelbagai bantuan kewangan berskala besar untuk rakyat negeri ini.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, semua bantuan kewangan yang disalurkan bagi meringankan beban sara hidup rakyat Sarawak hanya dapat dilaksanakan kerana Kerajaan GPS kekal stabil dari segi politik.
Katanya, agenda dan dasar yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi tumpuan ke arah mengukuhkan ekonomi negeri serta menambah pendapatan Sarawak secara mampan dan strategik.
“Sebenarnya sebahagian besar pendapatan ini 50 lebih peratus disalurkan untuk kebajikan masyarakat Sarawak sebenarnya.
“Ada yang mengatakan bahawa Kerajaan Sarawak sibuk menambahkan pendapatan negeri tetapi kebajikan rakyat tidak dipedulikan adalah pandangan yang sempit dan cetek dari mereka yang sebenarnya kurang arif atau kurang pengetahuan mengenai apa yang berlaku di Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UKAS semasa Majlis Pelancaran Bantuan Kewangan Khas (BKK) Pelajar IPT Sarawak di Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Premier Sarawak hari ini.
Sehubungan itu, Abdullah berharap agar pelajar Sarawak menerima mesej Premier Sarawak dengan jelas.
“Kita sebenarnya memerlukan ramai mereka yang pakar dalam jurusan bukan sahaja dalam ekonomi, teknikal, sains dan kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.
“Kita berharap di masa akan datang ekonomi Sarawak kekal maju atas kepakaran anak-anak Sarawak sendiri,” tegasnya.
