DARO: Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang tinggi akibat kebocoran paip dan kecurian air telah dikenal pasti sebagai salah satu cabaran utama dalam industri bekalan air.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sehubungan itu Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan bernilai sekitar RM1.1 bilion di bawah Dana Alternatif bagi pelaksanaan projek penggantian dan naik taraf saluran paip sepanjang kira-kira 2,742 km di seluruh Sarawak.
Katanya, program ini bermula pada penghujung tahun lalu dan akan dilaksana secara berfasa untuk tempoh lima tahun.
“Ini amat penting bagi kita mengurangkan kadar NRW yang masih agak tinggi sekali gus menambahbaik bekalan air sedia ada.
“Bagi Bahagian Mukah, peruntukan bernilai sekitar RM10.4 juta telah diluluskan untuk melaksanakan 11 projek penggantian paip baharu sepanjang 29.9 km bagi 2024 sehingga 2025.
“Peruntukan besar oleh Premier Sarawak ini menunjukkan komitmen beliau dan Kerajaan Sarawak menyelesaikan isu bekalan air terutama m di luar bandar,” katanya pada Majlis Perasmian Projek ‘Acute System’ Daro, hari ini.
Julaihi yang juga ADUN Sebuyau memberitahu, kementeriannya sentiasa turun padang memantau perkembangan semua projek bekalan air di seluruh Sarawak agar projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Turut hadir ialah ADUN Daro Safiee Ahmad, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Komunikasi Datu Jafri Lias serta Pengarah JBALB Ir Ts Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan.
