Dua ladang kerbau baharu sasarkan ternak 10,000 ekor kerbau

LAWAS: Dua ladang kerbau baharu di bawah projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) di Parlimen Lawas menyasarkan 10,000 ekor kerbau menjelang 2030.

Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Bahagian Pemantauan Projek dan Program Luar Bandar, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, sasaran itu berdasarkan kemampuan setiap ladang berkeluasan 100 ekar menternak 100 ekor kerbau.

Ini bermakna penternak mampu menternak 200 ekor kerbau di dua ladang baharu berkenaan, katanya selepas menghadiri taklimat dua projek Prospek di sini, semalam.

Rohani kemudian meneruskan lawatan ke Long Kachu dan Long Tuan untuk meninjau tapak projek terbabit.

Beliau berkata, pendekatan lebih kreatif telah diaplikasikan dalam pembinaan kandang kerbau menggunakan tiang daripada simen yang merupakan pertama di negara ini di kedua-dua ladang berkenaan.

“Ini adalah projek ikonik di sini,” katanya sambil menzahirkan rasa gembira melihat projek itu yang turut melibatkan komuniti setempat.

“Ini akan menjadi yang pertama mungkin di Malaysia. Jadi kami menggalak usaha macam ini,” katanya semasa mengadakan lawatan pemantauan projek ternakan kerbau di Kampung Long Tuan dan Projek tanaman jagung di Kampung Long Kachu Ulu Trusan.

“Sebagai permulaan dua ekor baka kerbau jantan dan 18 ekor kerbau betina akan ditempatkan di setiap ladang kerbau di Long Tuan.

Menyentuh projek tanaman jagung, Rohani memberitahu seramai 13 peserta dari Kampung Long Kachu terlibat dalam penanaman di atas kawasan seluas 13 ekar.

“Mereka telah memohon peruntukan tambahan untuk tanaman jagung yang bukan sahaja dijual ke pasaran luar tetapi untuk makanan ternakan di Lawas,” katanya.

Rohani yang ditemani Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong memuji usaha kreatif peserta Prospek di Lawas yang disifatkan amat berjaya.