KUCHING: Sempena sambutan Hari Wanita Sarawak, sebuah buku wanita bertajuk “Sarawak Women Creating Legacies” Ke-12 dilancarkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah melancarkan buku wanita tersebut.
Buku setebal 217 muka surat itu mencerminkan keperibadian daya tarikan wanita-wanita yang diraikan dan dijadikan sumber inspirasi generasi akan datang.
Dalam pelancaran itu, Fatimah berkata, buku berkenaan sebagai penghormatan dan mengangkat martabat wanita hebat yang turut sama menyumbang membina Sarawak harmoni, sejahtera dan progresif.
Katanya, sejak 2010, sebanyak 12 buku diterbitkan yang mengetengahkan kejayaan wanita Sarawak.
“Kesemua penerbitan tersebut mendokumentasikan sebanyak 335 personaliti wanita tempatan yang menyumbang dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kesihatan, seni, sukan, teknologi, perkhidmatan awam, keusahawanan dan keselamatan,” katanya.
Sementara itu, 11 buku terdahulu ialah Sarawak Women Treading the Path of Post-Independence Years (2010), Sarawak Women in Politics (2012), Sarawak Women in Volunteerism (2014), Sarawak Women in the Arts (2015), The Pioneers Sarawak Women in Politics (2016), Sarawak Women in Sports (2017), Sarawak Women in Wellness (2018), Sarawak Women in Safety and Security (2019) dan Sarawak Women in Scholarly Writing (2021 dan 2023) serta Sarawak Women in Innovation and Technology (2024).
