Fazzruddin cadang laluan alternatif untuk Jalan Matang, elak kesesakan

KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta mempertimbangkan cadangan membina laluan alternatif bagi mengurangkan aliran trafik di Jalan Matang di sini.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman mencadangkan laluan terbabit dengan membina satu lagi jalan yang baharu dari Simpang Malihah terus ke FAC.

Beliau juga mencadangkan pembinaan jalan dari Malihah yang dipotong ke Paroh seterusnya ke Sungai Maong.

“Saya turut memohon kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo supaya mempertimbangkan cadangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo melawat tapak ke projek pembesaran Jalan Matang, di sini, hari ini.