KUCHING: Kerajaan optimis projek pembesaran Jalan Matang di sini dapat disiapkan lebih awal daripada jadual iaitu Ogos tahun 2026.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwwo berkata, projek terbabit kini mencapai 22 peratus siap dan dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.
“Sungguhpun mengalami kelewatan kecil 3.58 peratus berpunca daripada kerja-kerja pemindahan utiliti yang berskala besar, namun yakin dapat disiapkan Ogos tahun hadapan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Jalan Matang di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Menurut Aidel, pemindahan utiliti yang agak besar skalanya di sepanjang jalan ini seperti telekomunikasi dan bekalan air perlu dilakukan secara kekal ke lokasi yang ditetapkan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang.
“Proses ini mengambil masa kerana melibatkan kerja-kerja penyelarasan dengan perkhidmatan utiliti berkenaan tetapi selebihnya berjalan dengan lancar dengan sebahagian kawasan sudah siap dan hanya menunggu lapisan akhir jalan,” katanya.
Sementara itu, Fazzrudin Abdul Rahman berharap projek itu dapat dilaksanakan secepat mungkin selewat-lewatnya pada Januari atau Februari tahun hadapan memandangkan jalan raya tersebut digunakan oleh ribuan pengguna setiap hari.
