Kuching bandar pelancongan bersih ASEAN

KUCHING: Kuching sebagai satu-satunya bandar raya di dunia yang diterajui oleh dua Datuk Bandar, memiliki keunikan tersendiri selain melalui transformasi pesat sejak diisytihar bandar raya pada 1 Ogos 1988.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setelah 37 tahun di bawah pimpinan lapan orang Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU) dan lima orang Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Bandaraya Kuching bergerak pantas dalam melakar nama ke persada dunia.

Antara pencapaian membanggakan ialah berada pada kedudukan ke-10 terbaik dunia dari segi kualiti udara, pengiktirafan sebagai Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO 2021 serta penerima Anugerah Bandar Pelancongan Bersih ASEAN 2024–2026 dan penarafan Bandar Pintar Malaysia, katanya semasa melancarkan Majlis Memperingati Hari Bandaraya Kuching Ke-37 di Pangkalan Sapi, di sini hari ini.

Kini tiba masanya DBKU dan MBKS lebih proaktif mendepani perkembangan pesat teknologi dan ekonomi digital, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Abang Johari menjelaskan, perkembangan itu tidak harus berhenti setakat apa yang sudah dimiliki sebaliknya harus bersedia dan proaktif mendepani perkembangannya sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak menjadikan negeri ini sebagai peneraju utama ekonomi digital di rantau ini.

Sarawak kini, katanya, berada di landasan kukuh untuk menjadi kuasa ekonomi digital utama rantau ini demi mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.
Ke arah itu, Kerajaan Sarawak telah merangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDE 2030), dengan sasaran utama untuk menarik aliran ekonomi global melalui strategi pembangunan aliran data rentas sempadan dan pelaburan digital termasuk pusat Kecerdasan Buatan (AI), tegas beliau.

Abang Johari menambah, Kerajaan Sarawak telah melancarkan pelan SDE 2030 yang merupakan antara pengisian Blue Print Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) untuk mengubah keseluruhan ekonomi dan masyarakat daripada ekonomi berasas konvensional kepada ekonomi dipacu teknologi mampan.

Justeru, kerajaan katanya menitikberatkan penggunaan teknologi baharu seperti AI, Internet Kebendaan (IoT), Blockchain, 5G dan lain-lain, yang dapat memacu produktiviti, inovasi, serta memperkasa kehidupan rakyat Sarawak.