KOTA SAMARAHAN: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai kaedah cukai jualan minyak sawit di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ini kerana terdapat pelbagai cukai terhadap komoditi itu dan salah satu ialah cukai jualan yang dikenakan atas buah tandan segar sawit.
“Mereka (pekebun) merayu supaya dipertimbangkan cukai itu dikirakan atas minyak sawit yang sudah diproses untuk dieksport dan dijual dan bukannya buah tandan segar,” katanya selepas berjumpa dengan pengusaha tanamam koko di Kampung Serpan Laut, di sini, sempena Program Trek Komoditi 2023 Zon Sarawak.
Proggram anjuran KPK itu bertempat di kebun koko milik Haili Hassan di Kampung Serpan Laut, Asajaya, di sin, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Fadillah berkata, sebahagian perbincangan kaedah pengiraan ini perlu membabitkan kerajaan negeri kerana turut mengenakan cukai jualan terbabit.
“Kita kena bincang kaedah pengiraan yang sudah ditentukan oleh kerajaan negeri dan yang diadukan tentang kaedah itu,”katanya.
Katanya, mungkin perbincangan terbabit akan diadakan tahun depan.