ProDR perkasa belia luar bandar – Abdul Yaakub

MUKAH: Jerayawara Project of Dream Realized’ (ProDR) Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 merupakan usaha kerajaan negeri melahirkan 500,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Abdul Yaakub Arbi berkata, jerayawara itu diteruskan sebagai usaha memperkasa pendidikan dan peluang pekerjaan kepada belia luar bandar.

“Jerayawara seperti ProDR penting dalam memperkasa belia luar bandar dengan pendedahan awal kepada bidang pendidikan, latihan teknikal dan kemahiran yang relevan dengan keperluan masa depan,” katanya merasmikan jerayawara itu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah hari ini.

Lebih banyak inisiatif serupa perlu diperluaskan ke kawasan Mukah dan sekitarnya, katanya sambil mengucap terima kasih kepada TEGAS dan semua rakan strategik yang menjayakan jerayawara berimpak tinggi itu.

Program ProDR yang memasuki edisi ke-10 melibatkan siri jelajah ke-14 lokasi seluruh Sarawak dalam tempoh 31 hari, dengan penyertaan lebih 31 institusi pendidikan dan agensi kerajaan, membuka peluang kepada pelajar dan belia luar bandar untuk mengenali pelbagai laluan kerjaya dan bidang kemahiran.

Turut dilancarkan dalam program itu ialah ‘Think & Tinker’ (T&T) Mini Lab di SMK Mukah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Parish Balingian, iaitu ruang pembelajaran digital berasaskan STEM yang merangkumi modul seperti ‘MicroBit for Beginner Workshop’, ‘Arduino Basics 101’, ‘Drone Programming’, ‘Exploring mBot Robotics’ dan banyak lagi.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili, Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip dan Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang.